Thursday, October 10, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Bab 6 Blog Di Dalam Kelas Bahasa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Hari ini saya ingin berkongsi tentang ulasan bab 6 buku Eh! Media Sosial oleh Noraein Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019)


Bab ini menerangkan tentang apa itu blog dan fungsi penggunaan blog tersebut. Berdasarkan bab tersebut, blog dikatakan sebagai medium yang digunakan oleh penulis blog dan pembaca untuk berdialog sesama mereka. Sama ada dialog di antara penulis blog dengan pembaca, pembaca dengan pembaca atau penulis blog dengan penulis blog yang lain (Normaliza & Noraien, 2019).
Blog adalah tempat untuk berkomunikasi bagi seseorang individu. Blog bukan sahaja tempat berlakunya perkongsian pengalaman, perasaan dan kekreatifan tetapi blog juga adalah tempat berlakunya pemberian dan penyebaran maklumat. Selain itu, blog adalah medium komunikasi yang bersifat tidak formal dimana penulis blog bebas untuk menulis dengan gaya unik mereka sendiri. Dalam erti kata lain, penulis blog bebas untuk mempamerkan gaya penulisan yang mereka kehendaki di dalam penulisan blog.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan terdapat perbezaan bahasa di antara lelaki dan perempuan. Hasil kajian menunjukkan bahawa penulis blog dalam kalangan perempuan lebih gemar menulis dan mengemas kini blog mereka. Mereka menggunakan tiga ciri bahasa daripada lima ciri bahasa yang telah dikategorikan. Lima ciri bahasa mengikut teori Lakoff (1975) ialah unsur kehangatan, unsur penegas, penambahan persoalan, kata sifat ‘kosong’ dan kata keterangan.
Selain itu, bab tersebut juga mengetengahkan tentang sensitiviti.  Penulis blog perlu mengambil kira aspek sensitiviti bagi mengelakkan sebarang permasalahan timbul. Terutamanya, apabila mereka berkolaborasi dengan pihak lain dalam penulisan blog. Hal ini demikian kerana penulis blog adalah individu yang bertanggungjawab terhadap konteks yang dipamerkan di laman blog mereka.
             Seterusnya, blog juga dilihat sebagai medium untuk membentuk keyakinan diri dan motivasi seseorang. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan terhadap pelajar, penulisan blog dijadikan sebagai medium pembelajaran bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris. Penulisan blog yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dapat meningkatkan kemahiran bahasa kedua, membangunkan keyakinan diri, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan mengurangkan kebimbangan apabila belajar dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Selain itu, melalui penulisan blog juga pelajar dapat mempelajari struktur ayat, pembendaharaan kata, tatabahasa dan cara susunan ayat yang betul dalam penulisan blog mereka.
            Penulisan blog bukan sahaja sebagai medium komunikasi yang mempamerkan gaya unik penulis blog dan medium pendidikan yang memberi inspirasi dalam penggunaan bahasa kedua tetapi juga sebagai medium untuk mengembangkan idea dan kemahiran penulis blog. Penulisan blog bukan hanya tertakluk kepada satu fungsi sahaja tetapi penulisan blog mempunyai banyak fungsi yang memberi manfaat kepada penggunanya. 

Sekian sahaja daripada saya. Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment

BBM3410SATU2019:Ketika dan Kalimat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua 💛 Harini saya nak kongsikan sedikit cerita yang mungkin tidak menarik bagi anda semua tapi...