10 etika penulisan blog yang
disenaraikan oleh Normaliza Abd Rahim (2014) dalam buku 'Eh!!! Media Sosial' oleh Noraien
Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019)
1. Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca.
Tajuk memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pembaca. Tajuk perlu ada point yang dapat memberi kesan emotif dan kognitif kepada pembaca. Tajuk yang mempunyai kesan emotif dan kognitif akan dapat merangsang minda dan perasaan ingin tahu pembaca untuk membaca. Selain itu, tajuk juga tidak perlu panjang lebar, cukup sekadar hanya untuk memberi petunjuk kepada pembaca tentang apa yang akan dibaca oleh pembaca.
2. Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca.
Setiap cerita perlu disertakan dengan konsep dan plot yang seimbang dengan jalan cerita. Jalan cerita yang dipamerkan dalam blog perlu padat dengan isi yang menarik dan selari dengan konsep yang telah ditetapkan. Cerita yang ditulis di blog tidak perlu berjela-jela dengan cerita yang luar daripada topik. Cerita yang tidak kena dengan tajuk akan membuat pembaca hilang minat dengan apa yang dibaca oleh mereka.
3. Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik.
Ayat yang humor dan berbentuk jenaka adalah unsur penting dalam penulisan blog. Penggunaan ayat yang humor dan berbentuk jenaka akan dapat mengekalkan pembaca untuk terus kekal membaca penulisan blog anda. Selain itu, penggunaan ayat yang humor dan berbentuk jenaka juga bertujuan untuk membantu pembaca merehatkan mindanya sebentar sebelum kembali fokus terhadap jalan cerita yang dibaca.
4. Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda.
Setiap penulisan blog memerlukan hujah-hujah yang tertentu bagi menyokong isi dan huraian cerita yang ditulis dalam blog. Hujah tersebut perlu selari dengan tajuk dan juga isi cerita supaya cerita yang ingin disampaikan itu dapat dihayati sepenuhnya oleh pembaca. Penulisan blog dengan hujah yang luar daripada topik akan membuatkan pembaca hilang minat untuk terus membaca penulisan blog anda.
5. Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini.
Penulisan blog perlu dikaitkan dengan berita terkini. Hal ini bermakna setiap penulisan blog perlu dikaitkan dengan berita-berita sensasi yang dapat menarik minat pembaca untuk membaca penulisan blog anda. Sekiranya penulisan blog anda berkonsepkan cerita klasik, selitkan juga sedikit cerita terkini yang mempunyai perkaitan dengan konsep cerita klasik anda. Perkara ini adalah bertujuan untuk mengekalkan pembaca untuk tidak bosan dan terus membaca penulisan blog anda.
6. Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.
Rata-rata pembaca penulisan blog adalah daripada pelbagai peringkat umur dan berbeza latar pendidikan. Hal ini bermakna setiap pembaca mempunyai pemahaman sendiri tentang apa yang dibaca. Penggunaan perkataan dan struktur ayat yang rumit akan mengelirukan pembaca. Oleh sebab itu, pentingnya penggunaan perkataan dan struktur ayat yang ringkas supaya apa yang ingin disampaikan dalam penulisan dapat disampaikan dengan tepat kepada pembaca dan isi penulisan itu tidak memberi sebarang kekeliruan kepada pembaca.
7. Dapat dibaca dan difahami.
Gaya penulisan blog perlu selari dengan sasaran pembaca penulisan blog anda. Gaya penulisan blog memainkan peranan penting kepada pembaca. Sekiranya, gaya penulisan blog berkonsepkan sejarah klasik, kemungkinan pembaca blog anda rata-rata berumur 40-an keatas. Namun, sekiranya anda ingin penulisan blog anda dibaca dan difahami oleh pelbagai peringkat pembaca, anda perlu memilih gaya penulisan blog yang tertakluk kepada semua peringkat pembaca.
8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca.
Blog adalah tempat untuk meluahkan segala cerita dunia anda. Selain itu, blog juga adalah sebagai medium perantaraan antara penulis blog dan pembaca blog. Melalui penulisan blog, anda akan dapat berkomunikasi dengan pembaca. Anda boleh saling bertukar-tukar maklumat dan pendapat antara anda dengan pembaca blog anda. Seterusnya, penulisan blog juga membolehkan anda untuk meluaskan pandangan anda mengenai dunia dan perkara-perkara baharu.
9. Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda.
Penulisan blog bukan sahaja tempat untuk meluahkan perasaan tetapi juga sebagai tempat untuk berkongsi tentang sesuatu perkara. Penulisan blog anda perlu dimasukkan nilai moral dan estetika yang dapat menunjukkan keindahan dalam berbahasa dan juga keindahan mengenai dunia. Penggunaan bahasa yang baik dalam penulisan blog akan menampakkan penulis adalah seorang yang mempunyai pengetahuan luas.
10. Berilmu untuk penulisan pendidikan.
Penulisan blog juga perlu diselitkan info yang dapat memberi penjelasan dan pengetahuan kepada pembaca tentang sesuatu. Hal ini demikian kerana, blog adalah carian utama yang rata-rata digunakan oleh pembaca untuk mencari sebarang maklumat tentang sesuatu perkara. Penulisan blog bukan sahaja berfokuskan kepada perkongsian pengalaman tetapi juga berfokuskan perkongsian maklumat yang dapat membantu pembaca penulisan blog.
No comments:
Post a Comment