Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Hari ini saya ingin berkongsi tentang ulasan bab 6 buku Eh! Media Sosial oleh Noraein Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019)
Bab ini menerangkan tentang apa itu blog dan
fungsi penggunaan blog tersebut. Berdasarkan bab tersebut, blog dikatakan sebagai medium yang digunakan
oleh penulis blog dan pembaca untuk berdialog sesama mereka. Sama ada dialog di
antara penulis blog dengan pembaca, pembaca dengan pembaca atau penulis blog
dengan penulis blog yang lain (Normaliza & Noraien, 2019).
Blog adalah tempat untuk berkomunikasi
bagi seseorang individu. Blog bukan sahaja tempat berlakunya perkongsian
pengalaman, perasaan dan kekreatifan tetapi blog juga adalah tempat berlakunya
pemberian dan penyebaran maklumat. Selain itu, blog adalah medium komunikasi yang
bersifat tidak formal dimana penulis blog bebas untuk menulis dengan gaya unik
mereka sendiri. Dalam erti kata lain, penulis blog bebas untuk mempamerkan gaya
penulisan yang mereka kehendaki di dalam penulisan blog.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan
terdapat perbezaan bahasa di antara lelaki dan perempuan. Hasil kajian
menunjukkan bahawa penulis blog dalam kalangan perempuan lebih gemar menulis
dan mengemas kini blog mereka. Mereka menggunakan tiga ciri bahasa daripada
lima ciri bahasa yang telah dikategorikan. Lima ciri bahasa mengikut teori
Lakoff (1975) ialah unsur kehangatan, unsur penegas, penambahan persoalan, kata
sifat ‘kosong’ dan kata keterangan.
Selain itu, bab tersebut juga mengetengahkan tentang
sensitiviti. Penulis blog perlu
mengambil kira aspek sensitiviti bagi mengelakkan sebarang permasalahan timbul.
Terutamanya, apabila mereka berkolaborasi dengan pihak lain dalam penulisan
blog. Hal ini demikian kerana penulis blog adalah individu yang
bertanggungjawab terhadap konteks yang dipamerkan di laman blog mereka.
Seterusnya, blog juga dilihat sebagai medium
untuk membentuk keyakinan diri dan motivasi seseorang. Berdasarkan kajian yang
telah dijalankan terhadap pelajar, penulisan blog dijadikan sebagai medium
pembelajaran bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris. Penulisan blog yang
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dapat meningkatkan kemahiran
bahasa kedua, membangunkan keyakinan diri, meningkatkan kemahiran berkomunikasi
dan mengurangkan kebimbangan apabila belajar dan bertutur dalam bahasa
Inggeris. Selain itu, melalui penulisan blog juga pelajar dapat mempelajari
struktur ayat, pembendaharaan kata, tatabahasa dan cara susunan ayat yang betul
dalam penulisan blog mereka.
Penulisan
blog bukan sahaja sebagai medium komunikasi yang mempamerkan gaya unik penulis
blog dan medium pendidikan yang memberi inspirasi dalam penggunaan bahasa kedua
tetapi juga sebagai medium untuk mengembangkan idea dan kemahiran penulis blog.
Penulisan blog bukan hanya tertakluk kepada satu fungsi sahaja tetapi penulisan
blog mempunyai banyak fungsi yang memberi manfaat kepada penggunanya.
Sekian sahaja daripada saya. Terima Kasih.